Pengenalan
Sudah menjadi sunnatullah, manusia dijadikan Tuhan dalam pelbagai rupa bangsa, warna kulit dan taraf hidup samada secara individu atau secara bermasyarakat. Maha Suci Tuhan dari tidak berlaku adil terhadap ciptaan-NYA pada semua itu tetapi itu adalah kebijaksanaan-NYA agar manusia dapat hidup dalam keadaan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Yang kaya, maju, kuat dan sebagainya membantu dengan penuh kasih sayang mereka yang miskin, mundur, lemah sehingga lahirlah kehidupan manusia yang harmoni, aman damai, berkasih sayang dan mendapat rahmat dari Tuhan.
Di antara keperluan utama dalam masyarakat yang disuruh untuk kita mengambil perhatian dan mengusahakan bantuan ialah soal keperluan dan kebajikan hidup sebahagian anggota masyarakat yang kurang berkemampuan kerana kekurangan dalam perkara ini boleh menyebabkan pelbagai kepincangan berlaku dalam kehidupan mereka dan akan memberi kesan secara tidak langsung kepada kehidupan masyarakat yang lain.
Di atas tuntutan inilah Pusat Jagaan Lambaian Kasih (PJLK) ditubuhkan sebagai pusat perlindungan dan penjagaan kebajikan kepada golongan tersebut terutamanya golongan yang layak menerima (asnaf) zakat dan juga anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya.
